My photo
kami adalah kami, tidak sempurna sifat dan rupa. yang mencari keredhaan-Nya untuk berjuang dijalan-Nya. hanya Allah s.w.t, hakim yang boleh menilai dan mentafsir siapa diri kami. 'Da'wah is not about to change and convert people but da'wah is to convey the message with wisdom, knowledge and good words'- kata-kata seorang penda'wah

Friday, September 16, 2011

Rama-rama yang tak mampu terbang..


Suatu hari, ada seorang budak lelaki sedang memerhatikan seekor kepompong..
Didalamnya ada rama-rama yang sedang berjuang untuk melepaskan diri dari dalam kepompong dan
Kelihatannya begitu sukar

Budak lelaki tersebut merasa kesian kepada rama – rama tersebut
Dia ingin membantu rama-rama agar dapat keluar dengan mudah.
Akhirnya kanak-kanak mengambil gunting dan membantu memotong
kepompong agar rama-rama dapat keluar dengan segera dan senang.
Alangkah senang dan leganya kanak-kanak tersebut.

Tetapi apa yang terjadi?
Rama-rama itu memang dapat keluar dari sana,
Tetapi rama-rama itu tidak dapat terbang, dia hanya dapat merayap.

Apa sebabnya?
Rama-rama yang sedang berjuang dari kepompongnya tersebut,
Sebenarnya pada saat rama-rama mengerahkan seluruh tenaganya, ada satu cecair didalam tubuhnya mengalir dengan kuat ke seluruh tubuhnya, yang akan membuatkan sayapnya dapat mengembang sehingga ia dapat terbang.

Tetapi kerana tiada lagi perjuangan tersebut, maka sayapnya tidak dapat mengembang sehingga ia menjadi seekor rama-rama yang hanya dapat merayap.

Kadangkala niat baik kita belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik.
Sama seperti pada sewaktu kita mengajar anak kita.
Kadangkala kita sering membantu mereka kerana kasihan atau rasa sayang, tetapi sebenarnya membuatkan mereka tidak berdikari
Membuat potensi dalam dirinya tidak berkembang. Memandulkan kreativiti

Kerana kita tidak sanggup melihat mereka mengalami kesulitan,
Yang sebenarnya jika mereka berjaya mengatasinya, mereka akan menjadi KUAT.
Demikian juga pada sewaktu kita sedang berjuang menghadapi sesuatu, jangan mengharapkan bantuan orang lain, berjuanglah dahulu dengan mengerahkan segala kemampuan kita.

Hidup penuh dengan PERJUANGAN.Sering kali juga kita sering menyalahkan situasi yang kita hadapi,Tetapi ternyata situasi itulah yang akan mendewasakan kita..

Thursday, September 15, 2011

Engkau tidak pernah sunyi


You'll never be alone ~ Picture by iNeedChemicalX of Deviant Art.


Stress? Rasa tiada siapa bersama-sama? Tekanan belajar@kerja bertimbun dan merasakan diri sudah sampai ke limitnya? Akhirnya semua itu membuatkan diri rasa tersepit dan terhimpit? Rasa sunyi?

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan.

Sesungguhnya, kita tidak pernah sunyi.

Mari kita lihat kehidupan yang lebih besar daripada diri kita ini.

Sesungguhnya Allah SWT menemani.



Melihat Alam Yang Luas

Mari kita lihat pokok-pokok yang berada di dalam hutan. Yang tidak disiram atau dibaja manusia. Bukankah mereka itu hidup mekar dan tumbuh melata?

Mari kita lihat pula ikan-ikan di laut yang tidak diberi makan jauh sekali dijaga oleh manusia. Bukan mereka itu hidup segar dan aktif sentiasa?

Mari kita lihat pula semut-semut yang tidak diternak atau disuap oleh manusia. Bukankah tiada antara mereka itu mampu bergerak dan meneruskan kehidupan mereka?

Mari kita kembali ke laut dan melihat seekor haiwan bernama Paus. Saiznya yang besar, pastinya memerlukan makanan yang banyak. Tetapi apakah manusia menyediakan? Tidak. Namun Ikan Paus tidak pernah mati kebuluran di tengah laut sekiranya ekosistemnya tidak terganggu.

Kita lihat ke awanan, berkepul-kepul gebu putihnya. Mengapa dia tidak jatuh? Apakah manusia yang menjaganya?

Kita lihat ke angkasa raya, bumi dan planet-planet lain bergerak mengikut orbit masing-masing, dan matahari pula kekal di tempatnya berpusing. Apakah manusia yang mengawalnya?

Dan kita kembali kepada diri kita saat kita masih berada di dalam rahim ibu.

Siapakah yang memberikan kita makan dan minum di dalam perut Ibu itu? Apakah seorang Ibu mampu menukarkan makanan yang dimakannya kepada khasiat-khasiat khas untuk bayi? Tidak. Jadi siapakah yang menjaga kita ketika itu sebenarnya?

Itulah dia Allah SWT.

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? [Surah Yunus ayat 31]





Dan Allah yang menjaga semua itu, wujud di sisi kita sentiasa.

Allah yang memberikan rezeki, yang menjaga dan mengawal semua itu tadi, berada di sisi kita sentiasa.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 214]

Sesungguhnya Aku amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 186]

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. [Surah Qaaf ayat 16]

Tidakkah kita merasa selamat dan tenteram bila mengetahui hal ini?

Cuma persoalannya, apakah kita berhubungan denganNya?



Punca tekanan dan kesunyian yang sebenar

Dunia ini akan hancur. Harta akan habis. Anak dan isteri akan membesar dan menua, juga mustahil untuk mereka memberikan masa 24 jam penuh kepada kita. Rakan-rakan juga datang dan pergi, dan masing-masing ada urusan masing-masing.

Sekiranya kita meletakkan pergantungan utama kita kepada perkara-perkara yang fana ini, semestinya kita akan menghadapi tekanan dan merasa kesunyian. Kita akan diserang ketakutan. Takut ‘kehilangan’.

Itulah masalah kita sebenar. Tidak mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Tidak bergantung dengan Dia, yang sebenarnya merupakan solusi kepada permasalahan kita. Kita tidak taat kepadaNya, kita melanggar perintah-perintahNya.

Ketiadaan hubungan dengan Allah SWT, adalah punca permasalahan kita.



Penutup: Kita Tidak Pernah Sunyi

Sesungguhnya rezeki itu ada. Bagi yang berusaha dan taat. Sesungguhnya bahagia itu ada. Bagi yang mendekatiNya dan merapat.

Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberikannya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. [Surah At-Talaq ayat 2-3]

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. [Surah Al-A’raf ayat 96]

Jadi apa lagi?

Mari lihat semula kehidupan kita. Muhasabah hubungan kita dengan Ilahi.

Sungguh, melihat alam itu sahaja sudah memberikan kita motivasi.

Inilah dia motivasi daripada Ilahi.


© Langitilahi.com

Cerita Hati di Birmingham




"What was I told you last time?"
"Why won't you hear?"
"I thought I've warned you."
"I'm not saying this because of jealousy or being ridiculous or what so ever... but because..."
Hari ini 27 Januari 2013;
Najihah tunduk memandang lantai tanah yang tidak lagi ditutupi salji tebal. Dia baru sahaja melepasi lorong itu.

Terdengar-dengar suara dua orang yang bertengkar dari dalam sebuah rumah. Langsung, dia teringat pada sesuatu.
Langkahnya kini sudah jauh meninggalkan kenangan hampir tujuh tahun yang berlalu.
Waktu itu, atmosfera dingin langsung tidak terasa. Angin dingin dari Rusia yang datang seolah-olah melukakan sebuah persahabatan. Sahabat sejati itu terputus hubungan hanya kerana sebuah teguran. Kini, baru hatinya melihat.
"Kau memang celik mata, tapi kelabu hati." Tegur Widya.
Ketawa kecil lagi, entah apalah yang dia fikirkan. Tangannya ligat membuka sarung aiskrim 'cornetto.'
"Kelabu hati tak apa lagi asal jangan buta hati." Balas Najihah laju. Tersinggung agaknya dengan Widya. Tetapi tidak meminggirkan tangannya untuk menyambut aiskrim huluran Widya.
"Aduhai Naj, kelabu hati itu lebih bahaya. Bila-bila boleh menghitam. Bila hati hitam, butanya tak pakai 'standard.' Gelap terus. Nah, jadinya mana yang lebih sulit? Mencuci cermin yang kelabu atau cermin yang hitam berkarat?" Bidik Widya. Najihah bisu seketika.
"Yang sebetul-betulnya apa Widya? Kau buat aku nampak salah tapi aku sikit pun tak tahu apa yang kau nak cakap sebenarnya."
Akhirnya Najihah bersuara. Bingung dengan suku kata yang melintas sekejap-sekejap di kepala. Widya memang selalu begitu. Menegur tak pernahnya jelas.
"Tak ada salahnya Naj, kalau kau juga mula menyukai seseorang. Tapi janganlah riak perasaan itu sampai menutup hati kau untuk mengenal diri dia yang sebenar-sebenarnya. Baik kau, aku dan kawan-kawan kita yang lain, semuanya tahu bagaimana diri dia yang sebenarnya. Aku tak kata dia tak baik, dan aku tak kata yang kau salah. Tapi kalau dah sampai membilang-bilang soal ibadah, soal yang benar apa lagi yang salah, mana mungkin aku diamkan saja." Tutur Widya panjang lebar. Beremosi bunyinya.
Najihah jadi lebih diam daripada tadi. Hati dan kepala dah mula rasa tak sekata.
"Maksudnya apa ni Widya? Aku tak faham langsung apa yang kau kata." Najihah bingung. Kata-kata Widya seolah-olah menumbuk-numbuk dinding kepalanya.
"Lelaki yang kau suka itu, sudahkah kau ikhlas dengan diri kau? Sudahkah kau tanyakan diri kau? Atas sebab apa kau sukakan dia Naj? Sebab dia menayangkan yang dia ambil berat tentang kau? Dengan cara apa? Ayat-ayat manis atau kerana dia pernah mengirim ubat saat kau jatuh tak sihat lama dulu? Atau kau terlalu suka dengan wajahnya yang selalu dia maniskan untuk kau? Tapi di belakang kau, pernahkah kau dengar betapa ramainya sahabat-sahabat yang selalu terasa dengan bahasanya dan lagaknya yang tak bersopan? Selama kau mengenal dia, berapa berat nasihatnya pada kau yang menyuruh taatkan agama? Meski kau tak pernah keluar berdua, sudah berapa jauh interaksi kalian?" Jelas suara Widya.
Tidak berapa lama kemudian dia berhenti sejenak. Mengambil nafas barangkali. Najihah dah mula rasa tak selesa. Widya menyambung. Sepertinya, ini sahajalah peluangnya untuk membuka mulutnya kepada Najihah.
"Khayalnya kau itulah yang aku takutkan. Seolah-olah hanya dia sahaja lelaki yang ada hanya kerana dia ingin mengenal kau. Aku tahu Naj, setiap orang pasti inginkan cinta untuk dirinya. Tetapi adakah Dia redha dengan jalan yang kau pilih ini? Jika kau tak nampak lagi, nah aku dah pun sampaikan. Maaf Naj, mungkin kasar pada kau. Tapi jika sehari-hari teguran perlahan aku kau tak hiraukan, apa lagi pilihan yang aku ada? Dan percayalah Naj, kau bukanlah satu-satunya. Ya, mungkin satu-satunya untuk dijadikan sebagai teman hidup, kerana kau istimewa. Sedangkan yang lain, tak berbatas lagaknya dia."
Najihah tergamam. Widya dirasakan mengasaknya dengan tujahan melampau waktu itu. Suaranya langsung tertahan. Tak terbela jadinya dia. Dan disebabkan kebenaran-kebenaran itu lah, 'Friendship seems to has been lost into the thin air'.
Baik dia mahupun Widya, masing-masing idtak pernah menyebut sengketa. Tetapi berakhirnya langkah kaki di petang bersalji itu, masing-masing beku bak bongkah batu. Widya hanya membawa kaki melangkah. Pandangan dah ditala ke bermacam arah. Najihah pula gayanya semacam tak mahu mendongak lagi.
Apa yang dia ingat selepas hari ketiga kejadian, waktu dia ingin memanjangkan maaf, Widya sudah tiada lagi di biliknya. Entah bila sahabat itu pergi pun dia tidak sedar. Yang tinggal hanyalah sekeping kertas jingga yang dilekatkan di kepala katil temannya itu yang bertulis:
"Tak perlu kemaafan, kerana kita bukan sengketa. Aku tinggalkan kau dan seluruh kenangan kita bersama di sini. Aku harus pulang ke Acheh. Orang tuaku meninggal. Rumahku dan perusahaan tak lagi damai. Tak mungkin untuk aku terus sambung di sini. Salam sayang daripada aku; Widya."
Pada hari yang sama Najihah merasakan betapa kecilnya dunia tanpa Widya dan kata-katanya, dia ternampak pula lelaki itu beramai-ramai dengan sahabat sekuliahnya. Entah apa kejadiannya, kelihatan seorang perempuan yang entah dari mana datangnya menepuk lelaki itu tanpa silu segan.
Kejutannya bukan itu, tetapi bila melihat dia yang kembali mengejar perempuan itu sambil menarik tapak tangan perempuan itu dan mencubit tangannya. Hah... saat itu, pucat dirasakan seluruh wajahnya. "Biar benar dia?"
Najihah hilang kata berminggu lamanya. Puas merenung dan membising pada diri. Marahnya pada diri lebih kepada rasa kesalnya kerana menyia-nyiakan seorang sahabat hanya kerana suatu teguran.
"Mengapa boleh jadi begini? Walhal, aku sendiri yang mengiyakan perubahan diri." Getusnya dalam hati.
"Agaknya ini balasan untuk orang sombong macam aku. Baru dua semester mengikut usrah, baru dua semester menelan pengertian, aku sombong dengan ilmu. Seolah-olah dah mula rasa yang diri sudah baik. Yakin sangat dapat bezakan yang baik dengan yang salah konon. Sampaikan ujian datang di depan mata aku langsung tak perasan." Bebelnya lagi dalam hati.
Itu kisah tujuh tahun lalu...
Kini, dia seorang Jurutera di sebuah menara terbilang, dan kunjungannya ke Birmingham pada tarikh yang sama dia mengunci suara bersama Widya dahulu adalah disebabkan oleh 'site visit' yang terletak tidak jauh dari lorong yang dilalui mereka dahulu.
Jauh di sudut hatinya dia terlalu rindu pada Widya. Dia mahu Widya tahu yang nasihatnya dulu langsung tak memecahkan hubungan. Bahkan, semakin deras dia mengirim doa buat sahabatnya itu.
Dia juga tidak mahu lagi hilang tempat berpijak hanya kerana meninggikan ilmu saban waktu. Paling penting, ada sesuatu lagi yang Widya tinggalkan buat dirinya. Kertas berlipat bintang yang tak pernah dia tahu tertulis sesuatu di bahagian belakangnya.
"Cintai Tuhanmu dahulu dan akrablah bersamanya dengan jalan-jalan yang ada. Bila kau menjaganya, Dia akan menjaga kau nanti. Mudah-mudahan akan Dia titipkan seorang yang lebih bagus untuk menjaga kau suatu hari nanti."